Wednesday, August 25, 2010

Artikel Tentang Pendidikan Awal Kanak-kanak


  
87% Kanak-kanak Disasar Terima Pendidikan Prasekolah – Muhyiddin

JELI 15 Julai. – Kerajaan mensasarkan 87 peratus kanak-kanak di bawah usia 7 tahun mendapat pendidikan prasekolah sebelum memasuki alam persekolahan sebenar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sasaran itu terkandung sebagai bidang tumpuan yang akan dilaksanakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Dalam pelaksanaan RMK-10 kita dah tetapkan bidang-bidang yang akan jadi keutamaan kita untuk diberi tumpuan.


 “Antaranya seperti pembangunan bidang pendidikan dengan lebih 5.6 juta pelajar di negara kita, lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara dan sebanyak 480,000 guru yang perlu diberi perhatian.

“Kita ada dasar dan program, antara inisiatifnya ialah membangunkan lebih banyak prasekolah. Sebanyak 67 peratus dari anak-anak kita telah ke prasekolah sebelum ini dan sasaran kita ialah untuk meningkatkan kepada 87 peratus supaya sebahagian besar anak-anak sebelum masuk ke sekolah biasa akan mendapat pendidikan prasekolah,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli di sini Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sasaran itu bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memastikan kanak-kanak berkenaan mampu menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sebaik sahaja memasuki alam persekolahan sebenar.

“Ada murid yang memasuki darjah enam tapi masih tidak tahu membaca atau menguasai 3M, sepatutnya dalam tempoh itu (enam tahun di sekolah) tidak timbul isu itu. Justeru, sekiranya anak-anak mendapat pendidikan awal semasa di prasekolah, isu 3M ini tidak akan berbangkit lagi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan kini mengharapkan lebih ramai pihak sama ada individu atau jabatan tertentu yang dapat membantu kerajaan meningkatkan pembangunan pendidikan di negara ini melalui pembinaan lebih banyak prasekolah.

Justeru, katanya, kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan berupa bantuan geran berjumlah RM10,000 kepada setiap pengusaha yang berminat untuk membuka prasekolah.

Katanya peruntukan itu akan disalurkan kepada pengusaha yang memiliki sekurang-kurangnya seramai 25 orang murid prasekolah.

Sementara itu, menyentuh mengenai kadar kemiskinan di negara ini, Muhyiddin berkata sehingga kini usaha untuk membasmi kemiskinan menunjukkan perkembangan positif apabila hanya tidak kurang tiga peratus sahaja yang masih berada di dalam golongan itu.

Muhyiddin berkata pada awal negara kita mencapai kemerdekaan, lebih 60 peratus rakyat dikenal pasti sebagai miskin.

“Peratus itu sudah dapat dikurangkan dan sehingga kini tidak sampai tiga peratus dari rakyat pelbagai kaum di negara ini yang termasuk dalam golongan miskin. Hampir selesai masalah itu, kalaupun ada sedikit berbaki tetapi ianya akan diselesaikan,” katanya. – Bernama

(Sumber rujukan : http://umno-online.com/?p=14163, 4.25pm, 17/08/10)

No comments:

Post a Comment